WaktuSolat.My

"Boleh Tak Awak Ceraikan Saya Sekarang? Saya Dah Tunaikan Hasrat Ibu Ayah Saya."

"Boleh Tak Awak Ceraikan Saya Sekarang? Saya Dah Tunaikan Hasrat Ibu Ayah Saya."

Orang selalu kata kepada saya,

"Ustaz boleh lah bahagia. Isteri ustaz baik"

Atau,

"Sembang hal rumahtangga boleh lah sebab semuanya dah baik. Saya ni macam nak gila hadap pasangan yang meletihkan"

Begitulah pandangan sesetengah orang bila membaca atau mendengar kata-kata saya tentang rumahtangga.

Baik. Begini.

Saya tuliskan kisah realiti beberapa tahun dulu. Dan kisah benar ini kekal saya simpan untuk jadikan kekuatan dan saya selalu sampaikan kepada mereka yang berkata seperti di atas.

Dulu,

Setiap hari khamis akan ada ceramah perdana di sebuah masjid. Saya selalu di undang untuk jadi pengerusi majlis sebab saya biasanya akan mulakan dengan selawat atau nasyid. Menghiburkan majlis sebelum ceramah bermula.

Dapatlah upah sikit. Buat saya belanja rumah. Sebab masa tu belum ada kerja tetap lagi.

Yang jemput saya ketua imam situ.

Habis majlis dia akan jemput saya makan sekali. Hidangan tu biasanya isteri dia yang masak.

Yang saya kagum dan seronok makan dengan imam ni sebab isterinya. Ya, sebab isterinya layan dia memang kelas pertama.

Ambil air basuh tangan, basuhkan tangan dia.

Ambil nasi, letakkan di dalam pinggan suami.

Suami terbatuk, dia bangun ambilkan tisu. Ambilkan air bagi.

Habis tu, dia duduk belakang sikit dari suaminya dan bersedia kalau perlu berkhidmat. Jatuh hati betul saya dengan perlakuan isteri imam ni. Dalam hati saya,

"Yelah, dia kan ketua imam. Isteri hormatlah. Untunglah"

Selesai semua, saya masih dengan imam ni dan isteri dia. Tiba-tiba gatal mulut saya bertanya,

"Imam, ustazah. Maaflah saya tanya. Saya sebenarnya selalu perhati apa yang ustazah buat pada imam. Bersantun betul. Kot lah ada ilmu yang saya boleh belajar"

Masa saya cakap macam tu, imam tersentak. Ustazah sama.

Air muka mereka berubah tiba-tiba. Ah sudah! Saya silap cakap ke ni. Aduh!

Lama mereka berdua diam. Pandang memandang antara satu sama lain. Saya dah mula tak selesa.

"Maaf imam. Maaf ustazah. Kalau saya silap tanya ni. Aduh. Maaf"

Imam tu pandang isteri dia.

"Abang cerita ya? Sebab abu ni macam anak abang dah. Selalu tolong abang kat masjid"

Isteri imam angguk.

"Saya cerita ni, aib juga. Tapi saya kongsi dengan awak lah ya. Kita pun dah kenal lama. Awak banyak tolong program masjid. Kita-kita je lah"

Saya ringkaskan begini. Kami sembang sampai tengah malam. Panjang.

Imam dan isterinya, keluarga jodohkan.

Isteri tak setuju. Memang melawan tapi sebab tak mahu sakitkan hati ibu ayah, dia terima juga.

Malam pertama isteri kata pada imam,

"Boleh tak awak ceraikan saya sekarang? Saya dah tunaikan hasrat ibu ayah saya. Jadi, ceraikan saya sekarang!"

Imam kata, dia macam nak gugur jantung. Sedangkan baru sahaja akad nikah. Baru je habis majlis. Masa tu dia istighfar sungguh.

Dia duduk sebelah isteri.

"Baik. Cuma boleh tak kita selesaikan hal ni selepas solat subuh esok? Saya nak berjemaah dengan awak. Esok saya tak bertugas di masjid. Kita solat sama ya"

Isterinya setuju.

Malam tu dia tak boleh tidur. Dia pandang saja isterinya. Yang baru di nikahi siang tadi. Dia doa dan terlena.

Selesai solat subuh bersama, dia mulakan kata.

"Baik, untuk hal semalam yang awak kata tu..." tak sempat dia habis cakap, isterinya balas,

"Emm..takpelah. Nantilah kita sembang. Saya mengantuk"

Dan,

Hari-hari yang berlalu, begitulah.

Bila isterinya minta cerai, dia akan jawab,

"Saya bertugas hari ni. Lepas berjemaah, kita selesaikan ya"

Sampailah dapat anak pertama, kedua dan sampai lima orang anak, dan anak-anak mereka makin besar sampailah semua anak-anak dah berkahwin, tiba-tiba isterinya sebut hal yang sama.

"Anak-anak kita dah besar. Saya pun dah hidup dengan awak bertahun-tahun ni. Saya dah bagi awak anak. Melayani awak 30 tahun ni. Jadi, boleh awak ceraikan saya?"

Dan, imam kata dia tetap berkata benda yang sama.

"Baik, kita selesaikan selepas solat jemaah nanti"

Dan untuk pertama kalinya, esok dia nak bangun untuk solat subuh, dia nampak isterinya ada di kakinya. Bersimpuh sambil pegang kakinya. Dia kejutkan isterinya, dan dia nampak wajah isteri sugul dan sedih sangat.

Kesan airmata pun masih ada.

"Eh? Kenapa ni?" Dia tanya pada isterinya.

Isterinya terus bangun, minta maaf dan peluk dia. Dan sejak hari tu isterinya berubah sangat. Pusing habis. Dan sampailah ke saat itu, isteri dia tak pernah minta cerai lagi.

Macam mana yang saya nampak pada hari itu, itulah isteri imam yang sebenar.

Sedang imam cerita, isterinya sambung,

"Itulah imam. Setiap kali solat jemaah dengan dia, tenang rasa. Bersalah pun ada tapi tak tahu lah. Memang benci. Rasa nak pergi tapi berkat doa dia lah"

Allahu.

Saya pun tak tahu kalau mereka tak cerita ni.

Airmata saya menitis. Berat rupanya kisah perjalanan imam dan isterinya ni. Orang hanya tahu imam ada isteri yang baik.

Semua orang hormat dengan imam. Sebab isterinya sangat menjaga kehormatan suami.

Kalau buat masalah, depan suami saja.

Bila di khalayak, mereka berdua tenang saja.

Inilah kisah yang saya selalu jadikan panduan. Jadikan rujukan. Jadikan pegangan.

Kerana bahagia dan sakinah itu, mulanya pasti pada ujian dan mehnah. Pada badai dan ribut yang melanda, setelah itu pasti tenang semula.

Jadikan solat jemaah sebagai penyambung hati kita suami isteri.

Jadikan sabar itu kekuatan yang tidak berhenti.

Pasti syurga nanti Allah beri di dunia lagi.

Nota: Artikel asal ini ditulis oleh Abu Hurairah Roslan.

Seorang suami, ayah, penulis dan usahawan komputer sepenuh masa.

Abu Hurairah Resources
Lot 2-018A, 2nd Floor Plaza Low Yat KL.
G24 Ground Floor, Plaza Imbi KL.
10.00 pagi – 6.00 petang.
wasap.my/601157511494